
Kampung Panchor Merah mula diterokai oleh sekumpulan kaum melayu seramai 145 orang berasal dari Negeri Kelantan dan Terengganu dan diketuai oleh Abdul Kadir Bin Saman pada tahun 1954. Beliau mengetuai kampung selama 20 tahun, dari tarikh itu sehingga tahun 1974.
Tapak pemerintahan diduduki pula oleh Allahyarham Ma Yunus Abdullah. Beliau memimpin kampung ini selama 24 tahun iaitu dari tahun 1975 hingga 1999. Pengerusi JKKK kini iaitu Tn.Abu Bakar Bin Mohd telah mengambil alih tugas selama 6 tahun, dari tahun 2000 hingga kini.
Asal-usul dinamakan Kampung Panchor Merah ialah kerana ditengah-tengah kampung terdapat anak sungai (panchor) yang berwarna merah. Sebelum sampai di Panchor Merah kita akan melalui dua buah bukit yang bertemu antara satu sama lain. Mengikut kata orang lama, dahulunya bukit ini dipangil Bukit Singa Berjuang.
Perkampungan awal bertempat di Kampung Panchor Merah Dan Kampung Lepang Kekabu (kini dikenali sebagai Hulu Kekabu. Pada tahun 1967 telah berlaku banjir besar dan penduduk kampung berpindah ke kawasan tinggi iaitu Kampung Panchor Merah dan Gong Nangka ( Lepang Kekabu ).
Pada 1974 penduduk di sini telah menubuhkan Cawangan UMNO Panchor Merah. Mata pencaraian penduduk ketika itu ialah membalak, mencari rotan, kayu gaharu, damar dan menanam padi. Namun kini, kebanyakan penduduk kampung ini telah menjadi peserta FELCRA Bhd. yang mana telah mengusahakan tanah-tanah yang terbiar tetapi masih mengekalkan hak milik tanah peserta.
Pada 1 januari 1984, FELCRA telah mengenalpasti kawasan Kampung Panchor Merah untuk dipulihkan dengan menanam tanaman kelapa sawit seluas 1,000 ekar. Kampung ini mulai diiktiraf sebagai kampung GDW pada tahun 1998. Kampung rangkaiannya ialah Kampung Hulu Kekabu dan Telok Tasik. Selain dari itu Kampung Panchor Merah juga terkenal dengan kawasan hasil durian terbaik.